Selepas mendarat di Indonesia Disember tahun lalu, kini SUV bersaiz besar gaya Amerika, buatan Korea iaitu Hyundai Palisade dilancarkan pada pasaran Malaysia secara rasmi. Berbanding pasaran negara jiran berkenaan yang hanya diberikan enjin diesel, pengedar Hyundai di sini iaitu Hyundai Sime Darby Motors (HSDM) menawarkan Palisade dengan pilihan enjin turbodiesel dan petrol V6, dengan kedua-duanya boleh dipilih dengan konfigurasi tujuh- atau lapan-tempat duduk.

Jadi secara keseluruhan, Palisade boleh dipilih dalam empat varian iaitu 2.2 Diesel Executive 7 dijual pada harga RM348,888, diikuti 2.2 Diesel Executive 8 dijual pada harga RM328,888, manakala model petrol pula dimulakan dengan varian 3.8 GDI Luxe 7 dijual pada harga RM358,888 dan model paling atas 3.8 GDI Luxe 8 dijual pada harga RM338,888.

Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga asas tanpa sebarang pilihan opsyen, atas jalan tanpa insuran bersama pengecualian 50% cukai jualan sehingga 30 Jun 2022 – Palisade pasaran Malaysia ini diimport sepenuhnya (CBU) dari kilang utama Hyundai yang terletak di Ulsan, Korea Selatan. Setiap pembelian juga diberikan perlindungan waranti pengeluar selama dua-tahun atau 50,000 km (yang mana sampai dulu).

Namun untuk pelanggan yang mahukan waranti selama lima-tahun/300,000 km, Palisade akan dijual pada harga RM 11,000 (untuk Luxe 7 dan Luxe 8) dan RM12,000 (untuk Exec 7 dan Exec 8) lebih mahal. Dengan harga tersebut pelanggan turut menerima servis penyelenggaraan percuma tiga tahun/50,000 km.

Bagi model diesel, ia dijana oleh enjin R2.2 liter CRDi empat silinder turbodiesel menjana tork maksima 440 Nm yang sama seperti Santa Fe, namun ditala lebih berkuasa dengan 200 PS berbanding hanya 193 PS pada SUV segmen C tersebut. Manakala versi petrol pula menerima enjin V6 3.8 liter Lambda II dengan suntikan bahan api terus (GDI) yang sama seperti sedan mewah Hyundai Genesis pasaran Malaysia sebelum ini, ditala bagi menghasilkan kuasa 295 PS dan tork maksima 355 Nm.

Kedua-dua pilihan enjin ini dipadankan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik, namun hanya model diesel diberikan sistem pacuan semua roda, sementara model petrol hanya menyalurkan kuasa ke roda hadapan. Gandingan ini membolehkan versi diesel memecut dari 0-100 km/j dalam masa 10.2 saat dan mencapai kelajuan maksima 190 km/j, manakala versi petrol pula mencatatkan masa 7.8 saat dalam pecutan sama sebelum mencapai kelajuan maksima 210 km/j.

Juga, kedua-dua pilihan unit rangkaian kuasa ini hadir dengan mod pemanduan Eco, Comfort, Sport dan Smart, manakala hanya model diesel hadir dengan Traction Mode Select dengan mod Snow, Mud dan Sand yang disertakan pada sistem pacuan semua roda tersebut.

Berapa besar Palisade ini? Atas kertas, ia menampilkan dimensi 4,980 mm panjang, 1,975 mm lebar, 1,750 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,900 mm. Untuk senang anda bayangkan, Palisade adalah 357 mm lebih panjang, 120 mm lebih lebar, 61 mm lebih tinggi dan jarak roda 240 mm lebih jauh berbanding Honda CR-V. Namun berbanding saingan dalam segmen sama iaitu Mazda CX-9, Palisade masih 95 mm lebih pendek dan menampilkan jarak roda 30 mm lebih dekat, tetapi diukur 6 mm lebih lebar serta 3 mm lebih tinggi.

Untuk kelengkapan, kesemua varian hadir dengan kit yang sama iaitu lampu hadapan, lampu nyalaan siang, dan lampu belakang LED, rim aloi 20-inci jejari-Y bersama tayar 245/50R20 (tayar gantian juga diberikan set roda yang sama!), dua bumbung suria, cermin sisi elektrik bersama lampu puddle dan fungsi pemanas, rel bumbung serta pintu tailgate bantuan kuasa.

Dalam kabin, semua versi Palisade pasaran Malaysia ini menerima paparan instrumen digital penuh Supervision dengan skrin TFT LCD bersaiz tujuh-inci, paparan head-up serta sistem infotainmen dengan skrin lapan-inci bersama sokongan Apple Carplay tanpa wayar, Android Auto serta kawalan arahan suara, dihubungkan kepada enam pembesar suara.

Perincian lain yang diberikan standard untuk kesemua varian termasuk roda stereng pelbagai fungsi balutan kulit, butang pemilih gear shift-by-wire, pedal penukar gear, brek parkir elektronik (dengan sistem auto hold), sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, pengecas telefon pintar tanpa wayar, lampu dan pengelap cermin automatik serta sistem pendingin hawa tiga zon.

Untuk konfigurasi tempat duduk, model lapan tempat duduk menampilkan susunan tiga baris 2-3-3, dengan tempat duduk baris kedua dan ketiga menampilkan tempat duduk jenis bench. Manakala versi tujuh tempat duduk pula diberikan susunan 2-2-3, di mana kerusi baris kedua adalah dari jenis Captain Seat yang lebih selesa.

Kesemua varian menerima tempat duduk hadapan (pemanas dan pengalir udara) larasan kuasa 12 hala bersama fungsi memori untuk pemandu dan 8 hala untuk penumpang. Untuk tempat duduk baris kedua, varian tujuh tempat duduk turut menerima fungsi pemanas dan pengalir udara, manakala versi lapan tempat duduk hanya menerima fungsi pemanas di bahagian berkenaan.

Kesemua baris tempat duduk juga menerima sekurang-kurangnya dua port USB (tujuh secara keseluruhan) serta 10 pemegang cawan di serata kabin. Ia juga diberikan empat port kuasa 12-volt yang masing-masing diletakkan pada konsol tengah, hadapan, belakang dan ruang but belakang.

Penumpang baris kedua menerima pelindung cahaya matahari manual untuk setiap tingkap. Manakala untuk memudahkan penumpang masuk ke baris ketiga, kerusi baris kedua boleh dilipat dan digelangsarkan kehadapan dengan menekan butang satu sentuhan yang diletakkan pada bahagian atas dan bawah.

Palisade menyediakan ruang kargo belakang sebesar 311 liter. Jika mahukan lebih ruang, tempat duduk baris ketiga turut boleh dilipat rata (serta diberikan karpet khas dan juga penutup tonneau yang boleh disorokkan di bawah lantai ruang kargo) bagi memberikan ruang tambahan sehingga 703 liter. Tak cukup lagi? Tempat duduk baris kedua juga boleh dilipat rata dengan menggunakan butang satu sentuhan yang disediakan pada ruang belakang tersebut.

Untuk upholsteri pula, pembeli ditawarkan dengan opsyen untuk beberapa tema warna dan jenis material balutan. Untuk mereka yang mahukan tema hitam sepenuhnya, hanya kulit biasa ditawarkan. Manakala kulit Nappa boleh dipilih dalam warna Warm Grey dan ia akan dipadankan dengan kemasan-kemasan dalaman lain berwarna Navy. Khas untuk pembeli Palisade dalam konfigurasi tujuh tempat duduk, ia turut ditawarkan dengan upholsteri kulit Nappa berwarna Burgundy, dan ia datang dengan kemasan-kemasan dalaman berwarna hitam.

Lima warna badan ditawarkan untuk semua varian Palisade iaitu Timeless Black, White Cream, Lagoon Silver, Steel Graphite dan Moonlight Cloud. Walau bagaimanapun, sekiranya pemilik model tujuh-tempat duduk mahukan upholsteri kulit Nappa berwarna Burgundy, ia tidak boleh dipadankan dengan warna badan luaran Moonlight Cloud.

Beralih kepada fungsi keselamatan, kesemua varian menerima kelengkapan standard seperti enam-beg udara, sistem kawalan kestabilan elektronik, kawalan menurun bukit, pemantau titik buta, cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix pada baris kedua dan ketiga, kamera undur, pemantau tekanan angin tayar, amaran lintasan trafik belakang, amaran buka pintu dan juga pengingat tempat duduk belakang.

Walau bagaimanapun, hanya model dengan enjin petrol V6 sahaja menerima sistem bantuan pemanduan termaju Hyundai SmartSense yang terdiri dari sistem seperti brek kecemasan automatik, cruise control adaptif (dengan stop & go), bantuan kekal tengah lorong, pengelak pelanggaran titik buta dan lintasan trafik belakang, lampu tinggi automatik, amaran mula berlepas hadapan, amaran selamat keluar dan juga amaran pengingat penumpang belakang yang berfungsi dengan penderia ultrasonic dalam kabin.

Boleh dikatakan model petrol dan diesel diberikan perincian yang sama pada bahagian luaran membuatkan ia sukar untuk dibezakan antara kedua-duanya. Jadi untuk mudah mengenali mana satu model petrol, perhatikan panel berwarna hitam pada pemegang nombor plat belakang – ia dilengkapi dengan penderia dan kamera bagi membolehkan sebahagian sistem Hyundai Smartsense berfungsi.

Untuk pengetahuan anda, selain Korea, Hyundai Palisade ini sebenarnya dihasilkan untuk pasaran Amerika Utara dan ia hanya dihasilkan dalam versi pemandua sebelah kiri (LHD) sejak diperkenalkan pada 2018 – sebab itulah ia menampilkan rupa yang tidak janggal jika berbaris bersama SUV keluaran Amerika seperti dari jenama GMC, Dodge dan sebagainya.

Ia mula dihasilkan dalam versi pemanduan sebelah bermula pada akhir tahun lalu, dengan sasaran utamanya untuk pasaran Australia dan New Zealand. Jenama mana lagi yang kita boleh pilih kalau nak SUV gaya Amerika macam Hyundai Palisade ini di Malaysia kan?

GALERI: Hyundai Palisade 3.8 GDI Luxe 7 2022

GALERI: Hyundai Palisade 2.2 Diesel Executive 8 2022



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.