Untuk pasaran tempatan, Toyota Vios diberikan kemaskini setahun lalu, dan untuk model tahun 2022 kini ada juga sedikit pembaharuan penawaran. Kereta berkenaan kini turut didatangkan dalam warna Nebula Blue Metallic yang menggantikan warna Dark Blue Metallic yang telah ditawarkan sejak 2019.

Dibandingkan dengan warna terdahulu itu, warna baru ini tonanya lebih biru dan kurang unggu, terutama jika dilihat di bawah cahaya matahari. Vios kini berkongsi warna Nebula Blue tersebut dengan Corolla Cross — menjadi satu lagi petunjuk bahawa model SUV kompak itu versi pemasangan tempatan juga akan diperkenalkan di sini tak lama lagi.

Selain warna baru ini, Vios juga diberikan pilihan warna Orange Metallic, Red Mica Metallic, Silver Metallic dan Platinum White Pear. Bagaimanapun, versi hatchback Yaris tidak ditawarkan dalam warna Nebula Blue terbaru ini — ia hanya ada dalam warna merah, perak atau putih.

Selebihnya semua sama untuk Vios, baik dari segi spesifikasi atau harganya. Vios dijual pada harga bermula RM74,623 bagi 1.5J, RM82,593 bagi 1.5E dan RM87,584 bagi 1.5G. Vios GR Sport — yang hanya ada dalam warna merah atau putih — dijual pada harga RM95,284.

Tiada sebarang kemaskini mekanikal dilakukan, jadi Vios kekal dengan enjin 1.5 liter 2NR-FE Dual VVT-i empat-silinder, yang menghasilkan 107 PS pada 6,000 rpm dan 140 Nm pada 4,200 rpm, dengan padanan transmisi CVT sama seperti sebelum ini.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.