Mulai tahun ini, dalam barisan model sport kelas pertengahan Yamaha, R6 telah diganti dengan R7 baru. Walaubagaimanapun, ini tidak bermakna pengeluar dari Jepun itu melupuskan terus R6 kerana mereka juga tahu, kalau melihat kepada prestasi, R6 jauh lebih ke hadapan berbanding R7. Disebabkan itu, mereka masih mengeluarkan R6, tetapi dalam versi kegunaan litar sahaja.

Ada dua versi yang diperkenalkan, iaitu R6 Race dan Race GYTR. Kedua-duanya menggunakan enjin empat silinder DOHC 599 cc bersama transmisi enam kelajuan nisbah rapat, menghasilkan kuasa 118.4 PS 14,500 rpm dan 61.7 Nm tork. Jumlah ini jauh lebih tinggi berbanding enjin dua silinder 689 cc 73.4 PS dan 67 Nm pada R7.

Jika dibandingkan dengan R6 yang dikeluarkan untuk produksi pada tahun 2017, R6 Race ini masih menggunakan ciri mekanikal yang sama, cuma ia dipasang dengan tangki aluminium serta panel badan lebih ringkas tanpa lampu dan barang yang tidak diperlukan di dalam litar.

Pergi pula kepada R6 GYTR, ia dipasang terus dengan pelbagai aksesori daripada katalog GYTR, bermula dengan panel badan gentian kaca diperkuat dengan karbon, set ekzos titanium lengkap Akrapovic, ECU GYTR, sistem pendawaian ringkas jenis lumba, sambungan kepada PC, hos brek stainless steel, penukar gear yang boleh diterbalikkan (GP Shift), sprocket serta rantai lebih ringan dan fork Kayaba 43 mm boleh laras sepenuhnya.

Kelengkapan lain masih lagi sama, termasuk quickshifter, meter kombinasi analog, tangki 17 liter dan LCD serta brek yang terdiri daripada cakera berkembar 320 mm bersama angkup empat piston di hadapan dan cakera brek 220 mm serta angkup satu piston di belakang. Berat keseluruhan R6 Race adalah 185 kg manakala R6 GYTR pula adalah 190 kg.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *